Ahad, 28 November 2010

Pantun Berkait Air Ditelan Serasa Duri

Bunga melur cempaka biru,
   Bunga rampai di dalam puan;
 tujuh malam semalam rindu,
   Belum sampai padamu tuan.

Bunga rampai di dalam puan,
   Ruku-ruku dari Peringgit;
Belum sampai padamu tuan,
   Rindu saya bukan sedikit.

Ruku-ruku dari Peringgit,
   Teras jati bertalam-talam;
Rindu saya bukan sedikit,
   Nyaris mati semalam-malam.

Teras jati bertalam-talam,
   Kapal berlabuh di lautan sisi;
Nyaris mati semalam-malam,
   Bantal dipeluk saya tangisi.

Kapal belabuh di lautan sisi,
   Patah puteri naga-naganya;
Bantal dipeluk saya tangisi,
   Hendak mati rasa-rasannya.

Patah puteri naga-naganya,
   Sentakkan layar ke Inderagiri;
Hendak mati rasa-rasanya,
   Air ditelan serasa duri.

Sentakkan layar ke Inderagiri,
   Ikan todak dalam perahu;
Air ditelan serasa duri,
   Tidur tak hendak makan tak mahu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan