Ahad, 5 Disember 2010

Syair Yatim Nestapa

Berjalanlah ia ke dalam negeri,
Ke dalam kota raja yang bahari,
Lalulah masuk ke balairung seri,
Disembahkan kepada Perdana Menteri.

Menteri pun masuk ke dalam istana,
Menghadap baginda raja yang ghana,
Ditegur baginda dengan sempurna,
Adakah dapat dukun di sana?

Baginda beritah dengan air mata,
Adakah dapat bagai dicita,
Orang mengubat puteri kita,
jikalau ada bawalah serta.

Berdatang sembah Perdana Menteri,
Adalah patik bawa ke mari,
Anak orang di hujubg negeri,
Dialah cakap akan menawari.

Baginda pun memandang Dewa Asmara,
Gemar dan kasih serta mesra,
Wahai anakku, marilah segera,
Ubatkan tuan empunya saudara.

Jikalau sembuh adinda ini,
Tuan akan ayahanda persalini,
Ayahanda rajakan tuan di sini,
Sampaikanlah niat ayahanda ini.

Dewa Asmara mendengarkan titah,
Tersenyum manis seraya menyembah,
Patik ini hamba di bawah lembah,
Sepatutnya sudah menjunjung titah.

Dewa Persada segeralah datang,
Disambutnya tangan seraya dipegang,
Marilah tuan bersama abang,
Dibawanya duduk bersama bertentang.

Lalu bertitah permaisuri,
Anakanda ketiga hampirlah ke mari,
Ubatkanlah adinda puteri,
Pensannya sudahlah tujuh hari.

Tuan kasihanlah kepada bonda,
Segeralah tawarkan bisanya adinda,
Janganlah segan di dalam dada,
Tuanlah jadi putera bonda.

Dewa Syahadan berdua saudara,
Dipegangnya tangan Dewa Asmara,
Dibawanya masuk dengan segera,
Ke dalam kelambu tirai sutera.

Dewa Asmara lalulah duduk,
Lakukan tertib, kepalanya tunduk,
Cantiknya manis terlalu elok,
Rupanya mejelis tiadalah bertolok.

Diambilnya kemala dikeluarkannya,
Di batil emas direndamkannya,
Di tubuh puteri direnjiskannya,
Naga yang sakti lalu dicitanya.

Setelah air sudah terasa,
Dengan sesaat hilanglah bisa,
Tubuh puteri pulang sentosa,
sangatlah segar badan dirasa.

Barulah puteri sedarkan diri,
Serta membuka matanya sendiri,
Terpandang kepada muda bestari,
Duduk beratur kanan dan kiri.

Kepada bondanya ia menoleh,
Hendak pun bangun belumlah boleh,
Kerana sakit belumlah pulih,
Melainkan air mata juga meleleh.

Segeralah disambut permaisuri,
Anakanda kedua juga turut berdiri,
Beberapa makanan yang diaturi,
Mana yang berkenan disuruh cari.

Terlalu sukanya permaisuru,
berkatalah ia laki isteri,
Besarnya kasih muda bestari,
Menolong ayahanda demikian peri.

Baginda pun berangkat ke balairung seri,
Diiringkan ketiga muda jauhari,
Hadir menghadap hulubalang menteri,
Bersuka-sukaan tidak terperi.

Baginda bertitah manis suara,
Seraya memandang Dewa Asmara,
Di manakah tempat desa negara,
Kepada ayahanda tolonglah bercerita.

Dewa Asmara mendengar titah,
Tunduk tersenyum manisnya bertambah,
Ampun tuanku duli Khalifah,
Tuanku bertanya patik menyembah.

Namanya patik Yatim Nestapa,
Hina miskin dagang yang papa,
Tiada menaruh ibu dan bapa,
Segenap hutan badan tercampa.

Tiadalah tentu bumi istana,
Yatim piatu bangsa pun hina,
Negeri pun entah di mana-mana,
Kepada orang tiadalah berguna.

Tiadalah menaruh gunung dan desa,
Di dalam hutan tempat temasya,
Menyusu kepada kijang dan rusa,
Bersuluhkan bulan di angkasa.

Patik ini dagang yang ghari,
Membawa nasib patik ke mari,
Lalu terjatuh di hujung negeri,
Didapati kebayan di hutan duri.

Setelah baginda mendengar kata,
Belas kasihan di dalam cita,
Sekai yang mendengar belas serta,
Fikirnya bukan orang yang lata.

Fikirlah baginda di dalam hatinya,
Anak raja juga gerangan dianya,
Sengja ia melindungkan bangsa,
Sebab ia meninggalkan negerinya.


(syair Yatim Nestapa, Puisi Melayu Tradisi.)

Pantun Rasa Sayang

Pagi-pagi menanam padi,
Padi ditanam berbaris-baris,
Baik-baik menanam budi,
Supaya tumbuh rasanya manis.

Padi ditanam berbaris-baris,
Rasa sayang handai dan sahabat,
supaya tumbuh rasanya manis,
Utara,selatan,timur dan barat.

Rasa sayang handai dan sahabat,
Bantu membantu bersatu tuju,
utara,selatan, timur dan barat,
Bersatu padu gembira dan maju.

Bantu membantu bersatu tuju,
sayang menyayang tertawa gembira,
Bersatu padu bergerak maju,
Hilanglah bimbang hidup sejahtera.

Lebai Malang

Lebai nasib langkahan malang,
Ke hulu ke hilir penat berulang,
Celaka sial bedebah jembalang,
Pakai dibuang bertelanjang pulang.

Ayuhai nasib fakir miskin,
Dapat sedekah sebungkus lempeng,
Habis hilang baju dan kain,
Penganan habis dibaham anjing.

Penat bekerja tidak terkira,
Ke sana ke mari tersera-sera,
Punah golok bersama nira,
Pulang kerumah mendapat mara.

Pak Pandir

Anak dipijak,dagang dijinjang,
Kucing dibunuh, tikus dibela;
Harta habis, badan tergadai,
Mendengar gelagak dagang,
Tak sedar bertelanjang;
Mendengar guruh dilangit,
Air tempayan dicurahkan.
Mulut kena suap pisang,
Buntut kena cangkuk onak,
Gunting makan di hujung,
Pak Pandir juga yang menanggung.
Apa didengar gelagak dagang,
Gelagak rambutan jantan,
Orang berbunga, dia berbunga,
Orang berbuah, dia haram!
Kilat memancar, hujan tak lalu,
Awak juga berkecundangan!

Jumaat, 3 Disember 2010

Pak Kaduk

Aduhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurhkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sudah dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk.

Khamis, 2 Disember 2010

Seloka Gurauan

Anak dara dua sepasang,
Pakai baju pakai kerongsang,
Sebiji nanas, sebiji pisang,
Belum tahu rezeki musang.

Encik Lotah di Sungai Dedap,
Bunyi dayung derap-berderap,
Tiada getah dengan Terap,
Burung terbang jangan diharap.

Tergesa-gesa di balik gumpung,
Pelanduk seekor tidak terkepung,
Encik bukan kera dan lotong,
Ranting yang buruk hendak bergantung.

Candu dibungkus kain palas,
Makan dia mata bilas,
Mandi segan kerja malas,
Harta orang hendak digalas.

Jalan-jalan sepanjang alam,
Singgah-menyinggah di pagar orang,
Pura-pura mencari ayam,
Ekor mata di anak orang.

Candu celaka jangan ditubi,
Tulang rusuk bagai seligi,
sahabat renggang saudara benci,
Datang ketagih hendak mencuri.

Ada seekor burung belatuk,
Cari makan di kayu buruk,
Tuan umpama ayam pungguk,
Segan mencakar rajin mematuk.

Gigi bertatah dengan gewang,
Kelip kalau nampak berjahang,
Rumah buruk lantai jarang,
Kalau terperlus malu ke orang.

Harap ke mulut besar cakap,
Kerja suatu tak boleh cekap,
Kayuh perahu bagai tertiarap,
Semua kehendak makan serap.

Rabu, 1 Disember 2010

Fasal Kedua Belas, Gurindam Dua Belas

Raja muafakat dengan menteri,
seperti kebun berpagarkan duri.

Betul hati kepada raja,
tanda jadi sebarang kerja.

Hukum adil atas rakyat,
tanda raja beroleh inayat.

Kasihkan orang yang berilmu,
tanda rahmat atas dirimu.

Hormat akan orang yang pandai,
tanda mengenal kasa dan cindai.

Fasal Kedelapan,Gurindam Dua Belas

Barang siapa khianat akan dirinya,
apalagi kepada lainnya.

Kepada dirinya ia aniaya,
orang itu jangan enkau percaya.

Lidah yang suka membenarkan dirinya,
daripada yang lain dapat kesalahannya.

Daripada memuji diri hendaklah sabar,
biar daripada orang datangnya khabar.

Orang yang suka menampakkan jasa,
setengah daripada syirik mengaku kuasa.

Fasal Ketujuh, Gurindam Dua Belas

Apabila banyak berkata-kata,
di situ jalan masuk dusta.

Apabila banyak berlebih-lebih suka,
itulah tanda hampirkan duka.

Apabila kita kurang siasat,
itulah tanda pekerjaan hendak sesat.

Apabila anak tidak dilatih,
jika besar bapanya letih.

Apabila banyak mencela orang,
itulah tanda dirinya kurang.

Apabila orang yang banyak tidur,
sia-sia sahajalah umur.

Fasal Keempat,Gurindam Dua Belas

Jika sedikit pun berbuat bohong,
boleh diumpama mulutnya itu pekung.

Tanda orang yang amat celaka,
aib dirinya tiada ia sangka.

Bakhil jangan diberi singgah,
itulah perompak yang amat gagah.

Barang siapa yang sudah besar,
Janganlah kelakuannya membuat kasar.

Barang siapa perkataan kotor,
mulutnya umpama ketur.

Di mana tahu salah diri,
jika tidak lain orang yang berperi.