Ahad, 5 Disember 2010

Syair Yatim Nestapa

Berjalanlah ia ke dalam negeri,
Ke dalam kota raja yang bahari,
Lalulah masuk ke balairung seri,
Disembahkan kepada Perdana Menteri.

Menteri pun masuk ke dalam istana,
Menghadap baginda raja yang ghana,
Ditegur baginda dengan sempurna,
Adakah dapat dukun di sana?

Baginda beritah dengan air mata,
Adakah dapat bagai dicita,
Orang mengubat puteri kita,
jikalau ada bawalah serta.

Berdatang sembah Perdana Menteri,
Adalah patik bawa ke mari,
Anak orang di hujubg negeri,
Dialah cakap akan menawari.

Baginda pun memandang Dewa Asmara,
Gemar dan kasih serta mesra,
Wahai anakku, marilah segera,
Ubatkan tuan empunya saudara.

Jikalau sembuh adinda ini,
Tuan akan ayahanda persalini,
Ayahanda rajakan tuan di sini,
Sampaikanlah niat ayahanda ini.

Dewa Asmara mendengarkan titah,
Tersenyum manis seraya menyembah,
Patik ini hamba di bawah lembah,
Sepatutnya sudah menjunjung titah.

Dewa Persada segeralah datang,
Disambutnya tangan seraya dipegang,
Marilah tuan bersama abang,
Dibawanya duduk bersama bertentang.

Lalu bertitah permaisuri,
Anakanda ketiga hampirlah ke mari,
Ubatkanlah adinda puteri,
Pensannya sudahlah tujuh hari.

Tuan kasihanlah kepada bonda,
Segeralah tawarkan bisanya adinda,
Janganlah segan di dalam dada,
Tuanlah jadi putera bonda.

Dewa Syahadan berdua saudara,
Dipegangnya tangan Dewa Asmara,
Dibawanya masuk dengan segera,
Ke dalam kelambu tirai sutera.

Dewa Asmara lalulah duduk,
Lakukan tertib, kepalanya tunduk,
Cantiknya manis terlalu elok,
Rupanya mejelis tiadalah bertolok.

Diambilnya kemala dikeluarkannya,
Di batil emas direndamkannya,
Di tubuh puteri direnjiskannya,
Naga yang sakti lalu dicitanya.

Setelah air sudah terasa,
Dengan sesaat hilanglah bisa,
Tubuh puteri pulang sentosa,
sangatlah segar badan dirasa.

Barulah puteri sedarkan diri,
Serta membuka matanya sendiri,
Terpandang kepada muda bestari,
Duduk beratur kanan dan kiri.

Kepada bondanya ia menoleh,
Hendak pun bangun belumlah boleh,
Kerana sakit belumlah pulih,
Melainkan air mata juga meleleh.

Segeralah disambut permaisuri,
Anakanda kedua juga turut berdiri,
Beberapa makanan yang diaturi,
Mana yang berkenan disuruh cari.

Terlalu sukanya permaisuru,
berkatalah ia laki isteri,
Besarnya kasih muda bestari,
Menolong ayahanda demikian peri.

Baginda pun berangkat ke balairung seri,
Diiringkan ketiga muda jauhari,
Hadir menghadap hulubalang menteri,
Bersuka-sukaan tidak terperi.

Baginda bertitah manis suara,
Seraya memandang Dewa Asmara,
Di manakah tempat desa negara,
Kepada ayahanda tolonglah bercerita.

Dewa Asmara mendengar titah,
Tunduk tersenyum manisnya bertambah,
Ampun tuanku duli Khalifah,
Tuanku bertanya patik menyembah.

Namanya patik Yatim Nestapa,
Hina miskin dagang yang papa,
Tiada menaruh ibu dan bapa,
Segenap hutan badan tercampa.

Tiadalah tentu bumi istana,
Yatim piatu bangsa pun hina,
Negeri pun entah di mana-mana,
Kepada orang tiadalah berguna.

Tiadalah menaruh gunung dan desa,
Di dalam hutan tempat temasya,
Menyusu kepada kijang dan rusa,
Bersuluhkan bulan di angkasa.

Patik ini dagang yang ghari,
Membawa nasib patik ke mari,
Lalu terjatuh di hujung negeri,
Didapati kebayan di hutan duri.

Setelah baginda mendengar kata,
Belas kasihan di dalam cita,
Sekai yang mendengar belas serta,
Fikirnya bukan orang yang lata.

Fikirlah baginda di dalam hatinya,
Anak raja juga gerangan dianya,
Sengja ia melindungkan bangsa,
Sebab ia meninggalkan negerinya.


(syair Yatim Nestapa, Puisi Melayu Tradisi.)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan