Selasa, 30 November 2010

Gurindam Alamat Hari Nak Siang

Tengah malam sudah terlampau
Dinihari belum lagi tampak
Budak-budak dua kali jaga
Orang muda pulag bertandang
Orang tua berkalih tidur
Embun jantan rintik-rintik
Berbunyi kuang jauh ke tengah
Seri lantig riang di rimba
Melenguh lembu di padang
Sambut menguak kerbau di kandang
Berkokok mendung merak mengigal
Faja sidik menyingsing naik
Kicak kicau bunyi murai
Tabtibau melambung tinggi
Berkuku balam di ujung bendul
Terdenyut puyuh panjang bunyi
Puntung sejengkal tinggal sejari
itulah alamat hari nak siang.

Isnin, 29 November 2010

Pantun Lapan Kerat

Sarang merbah di celah dahan,
Tempat punai bermain di situ,
Berkejar-kejar anak rusa,
Tampak dari tanah seberang;
Bersyukurlah aku pada Tuhan,
Kalau nasib memang begitu,
Akan merana sepanjang masa,
Harap pada kasihan orang.

Orang belayar dalam perahu,
Haluan menuju ke Batu Bara,
Sarat bermuat kain kapas,
Kapas dibawa dari barat;
Kasih tuan hambalah tahu,
Bagai orang menggenggam bara,
Rasa hangat hendak dilepas,
Begitu benar kias ibarat.

Pantun Enam Kerat

Apa didapat orang memburu,
Dapat rusa jantan betina,
Sedang bersembunyi di celah batu;
Bila mendapat bunga yang baru,
Bunga yang lama tidak berguna,
Adat dunia sudah begitu.

Apa diharap padi seberang,
Entah berderai entahkan tidak,
Entah dimakan pipit melayang;
Apa diharap kekasih orang,
Entah bercerai entahkan tidak,
Entah makin bertambah sayang.

Kota Lukut tempat semayam,
Raja Haji datang mengepung,
Banyak pedati ikut bersama;
Jangat ikut resmi ayam,
Bertelur sebiji riuh sekampung,
Mengagung bukti sebesar hama.

Tempayan pecah jangan diterap,
Boleh dibuat pengisi dedak,
Dedak basah penjemur padi;
Saya miskin apa diharap,
Budi tiada bahasa pun tiada,
Emas perak jauh sekali.

Kalau anak pergi ke rantau,
yu beli belanak pun beli,
Ikan parang beli dahulu;
kalau anak pergi merantau,
Ibu cari sanak pun cari,
Induk semang cari dahulu.

Ahad, 28 November 2010

Pantun Berkait Air Ditelan Serasa Duri

Bunga melur cempaka biru,
   Bunga rampai di dalam puan;
 tujuh malam semalam rindu,
   Belum sampai padamu tuan.

Bunga rampai di dalam puan,
   Ruku-ruku dari Peringgit;
Belum sampai padamu tuan,
   Rindu saya bukan sedikit.

Ruku-ruku dari Peringgit,
   Teras jati bertalam-talam;
Rindu saya bukan sedikit,
   Nyaris mati semalam-malam.

Teras jati bertalam-talam,
   Kapal berlabuh di lautan sisi;
Nyaris mati semalam-malam,
   Bantal dipeluk saya tangisi.

Kapal belabuh di lautan sisi,
   Patah puteri naga-naganya;
Bantal dipeluk saya tangisi,
   Hendak mati rasa-rasannya.

Patah puteri naga-naganya,
   Sentakkan layar ke Inderagiri;
Hendak mati rasa-rasanya,
   Air ditelan serasa duri.

Sentakkan layar ke Inderagiri,
   Ikan todak dalam perahu;
Air ditelan serasa duri,
   Tidur tak hendak makan tak mahu.

Jumaat, 26 November 2010

Pantun Jenaka

Gemuruh tabuh bukan kepalang,
   Diasah lembing berkilat-kilat;
Gementar tubuh harimau belang,
   Nampak kambing pandai besilat.

Pisau wali buat peraut,
   Camca jatuh patah berdengung;
Gila latah ikan di laut,
   Melihat umpan di kaki gunung.

Jikalau lengang dalam negeri,
   Marilah kita pergi ke kota;
Hairan tercengang kucing berdiri,
   Melihat tikus naik kereta.

Orang menganyam sambil duduk,
   Kalau sudah bawa ke balai;
Melihat ayam memakai tanduk,
   Datang musang minta berdamai.

Anak Hindu beli petola,
   Beli pangkur dua-dua;
Mendengar kucing berbiola,
   Duduk termenung tikus tua.

Punggur berdaun di atas kota,
   Jarak sejengkal dua jari;
Musang rabun, helang buta,
   Baharu ayam suka hati.

Pantun Kepahlawanan

Apa guna kepuk di ladang,
   Kalau tidak berisi padi;
Apa guna berambut panjang,
   Kalau tidak berani mati.

Jika terjumpa ular tedung,
   Carilah buluh kayu pemukul;
Berani buat beranilah tanggung,
   Tangan menjinjing bahu memikul.

Pudak bukan sebarang pudak,
   Pudak tumbuh di tepi lombong,
Jalak bukan sebarang jalak,
   Jalak biasa menang besambung.

Hang Jebat Hang Kasturi,
   Budak-budak Raja Melaka;
Jika hendak jangan dicuri,
   Mari kita betentang mata.

Kalau mengail di lubuk dangkal,
   Dapat ikan penuh seraga;
Kalau kail panjang sejengkal,
   Jangan lautan hendak diduga.

Sampan kotak mengapa dikayuh,
   Hendak belayar ke tanah seberang;
Patah kepak bertongkatkan paruh,
   Pantang menyerah di tengah gelanggang.

Khamis, 25 November 2010

Pantun Sindiran Dan Kiasan

Jika dilurut padi masak,
   Jatuh ke tanah berderai-derai;
Jika takut dilambung ombak,
   Jangan berumah ditei pantai.

Kerat-kerat kayu di ladang,
   Hendak dibuat hulu cangkul;
Berapa berat mata memandang,
   Berat lagi bahu memikul.

Dang Nila memangku puan,
   Berembang buah pedada;
Adakah gila bagimu tuan,
   Burung terbang dipipiskan lada.

Perahu dikayuh ke Tanjung Rengit,
   Sarat berisi pala dan rokan;
Jangan diharap guruh di langit,
   Air di tempayan pula dicurahkan.

Pantun Agama

Daun tetap diatas dulang,
   Anak udang mati dituba;
Dalam kitab ada terlarang,
   Perbuatan haram jangan dicuba.

Anak ayam turun sembilan,
   Mati seekor tinggal lapan;
Duduk berdoa kepada Tuhan,
   Minta jalan ketetapan.

Kulit lembu celup samak,
   Mari buat tapak kasut;
Harta dunia janganlah tamak,
   Kalau mati tidak diikut.

Dua tiga empat lima,
   Enam tujuh lapan sembilan;
Kita hidup tidakkan lama,
   Jangan lupa siapkan bekalan.

Pantun Budi

Tanam lenggun tumbuh kelapa,
   Terbit bunga pucuk mati;
Budi tuan saya tak lupa,
   Sudah terpaku di dalam hati.

Jentayu burung jentayu,
   Hinggap di balik pohon mayang;
Bunga kembang akan layu,
   Budi baik bilakan hilang.

Tenang-tenang air di laut,
   Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
   Budi baik rasa nak junjung.

Bunga melati bunga di darat,
   Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
   Hina manusia tidak berbudi.

Rabu, 24 November 2010

Pantun Perantau

Dari ladang pergi ke gurun,
   Buluh duri melingkar kota;
Hari petang hujan pun turun,
   Dagang berurai air mata.

Kajang tuan kajang berlipat,
   kajang saya mengkuang layu;
Dagang tuan dagang bertempat,
   Dagang saya tidak menentu.

Tudung saji hanyut terapung,
   Disulam mari dengan benang;
Hajat hati pulang ke kampung,
   Lautan lebar tidak terenang.

Bengis sungguh orang pangkalan,
   lalu-lalang perahu dilarang;
Menangis dagang sepanjang jalan,
   Mengenang nasib di negeri orang.

Anak enggang di ranting mati,
   Patah ranting terbanglah ia;
Anak dagang tak lama di sini,
   Habis musin pulanglah ia.

Pantun Adat

Laksamana berbaju besi,
   Masuk ke hutan melanda-landa;
Hidup berdiri dengan saksi,
   Adat berdiri dengan tanda.

Anak teruna tiba di barat,
   Dari makasar langsung ke Deli;
Hidup di dunia biar beradat,
   Bahasa tidak dijual beli.

Berbuah lebat pohon mempelam,
   Rasanya manis dimakan sedap;
Bersebarlah adat seluruh alam,
   Adat pusaka berpedoman kitab.

Ikan berenang di dalam lubuk,
   ikan belina dadanya panjang;
Adat pinang pulang ke tampuk,
   Adat sirih pulang ke gagang.

Selasa, 23 November 2010

Pantun Empat Kerat

Pantun Nasihat

Ke hulu membuat pagar,
      Jangan terpotong batang durian;
Cari guru tempat belajar,
     Supaya jangan sesal kemudian.

Padi muda jangan dilurut,
      Kalau dilurut pecah batang;
Hati muda jangan diturut,
      Kalau diturut salah datang.

Orang Daik memacu kuda,
      Kuda dipacu deras sekali;
Buat baik berpada-pada,
      Buat jahat jangan sekali.

Dayung perahu tuju haluan,
      Membawa rokok bersama rempah;
Kalau ilmu tidak diamalkan,
      Ibarat pokok tidak berbuah.

Pantun Dua Kerat

Tabtibau puyuh padang,
Hilang pisau berganti parang.

Hujung bendul dalam semak,
Kerbau mandul banyak lemak.

Siakap senonong gelama ikan duri,
Bercakap bohong lama-lama mencuri.

Kayu lurus dalam ladang,
Kerbau kurus banyak tulang.

Sudah gaharu cendana pula,
Sudah tahu bertanya pula.

Paku dulang paku serpih,
Mengata orang dia yang lebih.

Lain dulang lain kakinya,
Lain orang lain hatinya.

Goreng pisang goreng ubi,
Abang hutang adik rugi.

Pinggan tak retak nasi tak dingin,
Orang tak hendak kami tak ingin.

Ada ubi ada batas,
Ada budi boleh balas.

Ratib-ratib buluh nipah,
Sudah ratip hendak upah.

Lain ulu lain parang,
Lain dulu lain sekarang.